Friday 19 August 2011

BERITA KUNDASANG:SEJARAH PERMULAAN TANAMAN SAYURAN..

  
   Penanaman sayur di kundasang telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 1954. Plot percubaan telah dibuka di Tenompok (berdepan dengan Rina Ria Lodge, Batu 36) oleh Pegawai Pertanian Kota Belud yang juga menguasai Daerah Ranau ketika itu, ia itu Mendiang Y.Bhg Datuk S.P Durai. Beliau telah mengarahkan Pembantu Pertanian ketika itu Mendiang Datuk Sikodol Moludang untuk mencari tanah yang lebih luas di Bundu Tuhan untuk dijadikan sebagai Steshen Penyelidikan. Malangnya penduduk Bundu Tuhan tidak membenarkan Stesyen Penyelidikan didirikan di sana. Oleh itu beliau telah beralih arah ke Kundasang dan berjumpa dengan Ketua Kampung Kundasang ketika itu (K.K Kaingan - jika saya tidak silap). Ketua Kg. telah membenarkan Stesen Penyelidikan dibuka di Kundasang seperti mana yg ada pada masa ini iaitu di kawasan Masjid Jamek Kundasang didirikan. Kebenaran yg diberikan oleh KK kepada Jabatan Pertanian mendirikan Stesen Penyelidikan Pertanian telah mencetuskan kemarahan kepada beliau menyebabkan beliau dihalau daripada Kundasang. Beliau berada dalam buangan sehinggalah beliau meninggal dunia di Kg Tudangan, Ranau. Dari sudut ini kita melihat satu sinario apabila kehendak majoriti tidak selalunya betul. Jika bukan kerana K.K. Kaingan maka penanaman sayur-sayuran hawa sederhana tidak mungkin dapat dimulakan di Kundasang.
   Pada peringkat awal penanaman sayur di Kundasang, ia dilakukan dengan bercirikan penanaman mesra alam.ketika itu baja kimia dan racun serangga jarang digunakan. Pada tahun 60 an sehingga akhir 70 an penggnaan baja kompos dan pengawalan serangga secara biologi digunakan.Stesen Pertanian ketika itu terdapat satu plot percubaan kawalan serangga yang dikendalikan oleh Sukarelawan Jepun dengan hanya menggunakan lampu pam. Caranya, pada malam hari lampu pam di pasang di empat penjuru ladang sayur dan di bawah lampu pam itu diletakkan baldi besar yang dipenuhi dengan air. Lampu pom (pressure lamp) tersebut menarik serangga datang lalu jatuh ke baldi besar. Cara ini amat berkesan dalam usaha mengurangkan populasi serangga perosak tersebut. Serangga yang sukar dikawal seperti plutella ketika itu amat sedikit. Demikian juga dengan semburan kawalan makhluk perosak ketika itu adalah ramuan daripada bahan-bahan organik seperti lada padi, lada putih, serai dsb yang diadun dan dikisar menjadi ramuan semburan pengawalan makhluk perosak. Baja pula dibuat dengan proses pereputan daun-daun sayur buangan yang diadun dengan najis ternakan. Proses ini dikenali sebagai proses penghasilan baja kompos.
   Sistem peladangan penanaman sayur mesra alam di Kundasang berakhir pada akhir tahun 70 an dan bertambah rancak pada tahun 80 an apabila pekerja asing mula diambil bekerja di ladang-ladang sayur. Pada ketika itu perkara-perkara pokok seperti keperluan menjaga alam sekitar dan bahaya penggunaan racun dan baja mula diabaikan. Kebanyakan petani mula memikirkan keuntungan semata-mata malah ramai yang mula menjual tanah-tanah yang produktif disekitar pekan Kundasang kepada pemodal asing. Mentaliti kapitalis dan keinginan mendapatkan wang banyak dengan sekelip mata membuatkan ramai pemilik tanah tempatan menjual tanah mereka.




pad

No comments:

Post a Comment