Monday, 5 May 2014

Bahan masjid/surau yang diroboh

 Apakah yang harus dilakukan?

Muqaddimah :
Masjid adalah termasuk di dalam kumpulan harta wakaf yang ditentukan untuk kegunaan kumpulan tertentu di dalam masyarakat. Ini bererti masjid adalah kepunyaan atau milik semua umat Islam.
Definisi Wakaf :
Wakaf adalah menahan suatu harta yang boleh/sah digunakan dari penguasaan pemilikan untuk tujuan menggunakannya di jalan yang diharuskan oleh syarak.
Jenis Wakaf :
Oleh kerana wakaf harta untuk dijadikan tempat ibadat menyebabkan harta-harta milik masjid tidak tentu pemiliknya. Sebarang urusan ke atas harta wakaf masjid hendaklah didasarkan kepada kepentingan umum dan maslahah mereka. Kecuali bagi harta wakaf yang sudah ditentukan pemiliknya, seperti ia diletakan di bawah nama-nama tertentu.
Pendapat ulama berhubung dengan harta Wakaf :
1. Mazhab Hanafi berpendapat: Bahan-banah masjid ada sifat masjidiinya ia masih kekal sebagai masjid sekalipun tidak diperlukan lagi. Ia tidak boleh dipindah; samada ia dalam bentuk harga atau barang. Ia tidak boleh dipindah kepada masjid yang lain. Manakala Imam Abu Yusuf pula berpendapat : Barang-barang milik masjid berupa hamparan dan almpu-lampu boleh dipindah ke masjid yang lain,
Mengikut pendapat sebahagian dari Mazhab Hanafi pula : Runtuhan masjid yang tidak boleh sewakan lagi dan tidak boleh digunakan untuk dibangunkan semula samada digunakan untuk membuat binaan atau lain-lain, maka ia boleh dijualkan dengan perintah hakam. (pemerintah/pihakberkuasa). Harga dari barang yang dijualkan itu bolehlah dibeli harta wakaf yang lain menggantikan tempat wakaf yang telah dijualkan itu.
Jika harganya tidak digunakan untuk membeli barang-barang tersebut, maka ia bolehlah diserahkan kepada waris yang mewakafkan jika merekaj masih ada. Tetapi jika tidak ada waris yang boleh menerimanya, bolehlah dibahagikan kepada orang-orang fakir.
2. Mazhab Maliki berpendapat : Harta masjid tidak boleh dijualkan berasaskan kepada ijmak ulama" demikian juga Mazhab Syafie berpendapat sepertimana Mazhab Maliki : Bahawa harta masjid tidak dijual. Hanya dalam keadaan perlu (mungkin terdesak) sahaja, harta tak alih (العقار) milik masjid boleh dijual ; seperti keperluan untuk membesarkan atau memperluaskan masjid.
   
3. Mazhab Hanbali pula berpendapat : Apabila sesebuah masjid tidak diperlukan lagi atas sebab-sebab seperti ia digunakan lagi untuk ibadah sembahyang atau kerana ia sangat sempit unutk pada Jumaat, manakala ia tidak boleh diperbesarkan lagi, atau ianya telah berkecai serta tidak boleh dibangunkan lagi, melainkan dengan cara dijual sebahagian dari harta masjid tersebut. Untuk membangunkan bahagian yang baru pada masjid tersebut jika bahagian-bahagian masjid itu tidak boleh digunaka lagi, maka ia hendaklah dijual.
Apabila harta wakaf dijual, duitnya bolehlah dibeli sesuatu mengikut kehendak waris yang mewakafkannya, samada ia digunakan untuk membeli barang yang sejenis dengan harta yang dijual atau dibeli barang yang lain darinya tetapi kegunaannya samada sepertimana harta yang telah dijualkan itu, kerana harta wakaf tidak boleh diubah selagimana masih boleh diambil faedah darinya.
Tukarganti harta masjid :
Dalam hal menukarganti harta masjid, Imam Ahmad dan lain berpendapat : Jika perlatan dari masjid yang pertama dijual dan pendapatan dari jualannya tersebut digunakan untuk membina masjid yang lebih baik atau selesa maka hukum menjualnya adalah harus. Imam Ahmad membawa hajat Saidina Umar r.a. dan Saidina Uthman r.a. pernah menukarganti atau mengubahsuai masjid di zaman mereka.
Maka dengan ini harus pengubahsuai bangunan harta wakaf dari satu keadaan kepada keadaan yang lain kerana memenuhi keperluan yang jelas.
Ulasan dan pandangan :
Dari pembentangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat dua kumpulan yang berbeza pendapat berhubung dengan penggunaan harta wakaf masjid.
Pertama : Sebahagian dari Mazhab Hanafi berpendapat bahawa bahan binaan masjid dalam apa keadaan sekalipun masih kekal sifat masjidinnya kerana itu ia tidak boleh dipindah dan ditukarganti. Pendapat ini selari dengan pendapat Mazhab Malikiah di mana meraka berpendapat :
Mengikut ijmak Ulama" bahawa harta wakaf tidak bleh dijual.
Manakala sebahagian dari Mazhab Syafie berpendapat : Bahawa harta wakaf masjid tidak boleh dijual.
Kedua : Imam Ahmad dan lain-lain berpendapat : Bahawa harta masjid dalam keadaan tertentu seperti masjid tidak digunakan lagi kerana terlalu sempit dan tidak boleh diperbesarkan lagi, atau dalam keadaan masjid tersebut telah berkecai seperti tidak boleh dibangunkan lagi melainkan dengan dijual bahannya untuk dibeli dan dibangunkan masjid yang baru, maka ia harus dijual untuk tujuan tersebut, harta dari hualan tersebut boleh dibeli barang yang sama jenis mengikut kehendak waris yang mewakafkannya. Kerana harta wakaf tidak boleh diubah selagi masih boleh diambil faedahnya.
   
Imam Ahmad berpendapat lagi : Bahawa pemindahan harta wakaf dari satu keadaan kepada keadaan yang lain harus dan boleh dilakukan. Berdasarkan kepada ia pernah dilakukan oleh Saidina Umar r.a. dan Saidina Uthman r.a. Manakala sebahagian dari Mazhab Syafie berpendapat : Dalam keadaan tertentu (terdesak) harta tak alih (العقار) milik masjid boleh dijual seperti untuk membesarkan atau memperluaskan masjid.
Sebahagian dari Mazhab hanafi pula berpendapat : Bahawa runtukhan masjid boleh dijual dengan perintah hakam (pihak berkuasa). Harga dari bahan yang dijual itu dibeli peralatan baru dari jenis manfaat yang bersama, manakala harta wakaf masjid berupa hamparan dam lampu-lampu mengikut pendapat Abu Yusuf ia boleh dipindahkan ke masjid yang lain.
Masjid adalah maslahah umum :
Masjid adalah sesuatu keperluan dan berupa maslahah kepada masyarakat Islam seluruhnya. Tanpa masjid, maka hilanglah syiar Islam dari masyarakat setempat. Masjid dan segala peralatan menjadi hak bersama semua umat Islam. Masjid didirikan adalah untuk kegunaan, kepentingan dan maslahah umat Islam seluruhnya.
Oleh kerana setiap seorang Islam mempunyai hak dan kepentingan ke atas masjid dam hata miliknya. Maka apabila hak mereka terhalang, merekaa berhak mendapatkan semula hak tersebut selagi ada jalan. Beribadah di masjid adalah hak setiap orang yang beriman. Ia wajib diberi dan dibuka peluang kepada mereka yang berhak mendapatkannya.
Oleh itu apabila orang-orang Islam terhalang dari menunaikan sembahyang di masjid kerana sempit atau masjid itu uzur keadaannya sehingga membahayakan keselamatan pada jamaah, maka berusaha untuk membolehkan mereka menunaikan sembahyang berjamaah di masjid menjadi suatu keperluan yang wajib ditunaikan oleh mereka yang bertanggungjawab. Manakala mengabaikannya adalah suatu kesalahan di sisi syarak.
Sekiranya halangan sembahyang di masjid berlaku kerana masjid itu sempit, maka membesarkannya adalah suatu kemestian, sekalipun pembesarannya itu menuntut tukarganti dari yang lama kepada yang baru, dalam keadaan demikian menukarkannya sudah menjadi suatu keperluan yang wajib ditunaikan, kerana ia termasuk di dalam kaedah yang berbunyi 'ما لايتم الواجب إلا به فهو واجب" . Ia juga termasuk di dalam kaedah " لا ضرر ولا ضرار" dan kaedah "الضرورات تبيح المحظورات".


 Kertas disediakan oleh Y.Bhg. Dato" Dr. Saleh bin Ismail dan Y. Bhg. Ustaz Talib bin Abdul Rahman.

SUMBER DARI:e-fatwa
                     PORTAL RESMI FATWA MALAYSIA