KUALA LUMPUR, 30 JANUARI 2012: Dalam pada peminat juara Akademi Fantasia 7 (AF7), Hafiz Suip meraikan kegembiraan atas kemenangan penyanyi berambut kerinting itu menerusi Anugerah Juara lagu ke-26, malam tadi, peminat tegar penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin turut sama melonjak riang apabila penyanyi itu dinobatkan sebagai Penyanyi Solo Wanita Terbaik dalam Intuned Music Awards 2011.
Lebih membanggakan, menerusi kategori ini, Siti berjaya menewaskan nama-nama besar dari Indonesia, Agnes Monica termasuklah bintang Hollywood seperti Christina Aguilera dan Avril Lavigne. Tambah unik, anugerah yang dianjurkan portal yang menyampai cerita terkini artis seluruh dunia iaitu Ituned.com turut melayakan artis kegemaran rakyat Malaysia itu meraih anugerah Penyanyi Wanita Paling Seksi.
“Tentang keputusan menang enam anugerah dalam anugerah intuned music ini, Siti berasa ia adalah satu penghargaan daripada para peminat Siti terutama sekali peminat di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Mereka adalah Sitizoners yang tidak jemu-jemu mengundi Siti.“Bagi Siti, ia adalah permulaan yang baik untuk 2012 dan bukti bahawa peminat Siti tidak pernah jemu menyokong.
“Bagi kategori seksi, memang Siti dicalonkan dan tak sangka menang pula. Siti ambil kemenangan dalam kategori ini secara subjektif. Walaupun gelaran berkenaan agak panas, tetapi peminat yang memilih. Siti terima saja walaupun memang janggal rasanya bagi Siti,” kata Siti.
Menerusi anugerah yang undiannya dibuat secara online ini, pelatun lagu Biarlah Rahsia itu dicalonkan untuk enam kategori.
Selain menang dua kategori Penyanyi Wanita Seksi dan Penyanyi Solo Wanita Terbaik, Siti juga menyapu bersih empat kategori yang lain iaitu Artis/Band pilihan, Album Terbaik, Muzik Video Pilihan dan Penggunaan Media Sosial Terbaik.
Sungguhpun anugerah ini tidak berlangsung secara besar-besaran, pencapaian Siti amat membanggakan kerana dia mampu bersaing dengan nama-nama besar dari barat serta dari artis-artis K-Pop. Syabas dan tahniah diucapkan buat Siti Nurhaliza .
No comments:
Post a Comment