Wednesday 8 February 2017


kundasang:Cuaca sejuk luarbiasa di daerah ini terus berlanjutan sehingga mengakibatkan cecair yang terdedah di sesetengah bahagian Gunung Kinabalu membeku menjadi ais.
Sumber yang diterima daripada petugas yang berada di kawasan Gunung Kinabalu mengatakan pada pagi hari Rabu, terdapat takungan air di kawasan Puncak Low's membeku dan membentuk ais setebal lebih kurang 1 centimeter. Anggota Pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) yang dihubungi memberitahu bahawa suhu di Laban Rata pada waktu subuh sekitar 5 darjah Celsius. Kejadian takungan air membeku dipercayai terjadi pada sekitar jam 2.00 hingga 4.00 pagi di mana kemungkinan suhu turun sehingga 0 darjah Celsius mengakibatkan permukaan basah bertukar menjadi ais. Pengurus Taman Kinabalu, Yassin Miki ketika dihubungi media memberitahu bahawa sememangnya kejadian seumpama itu jarang berlaku, namun bukanlah kejadian yang pertama. “Sebenarnya, bagi kakitangan yang sudah lama bertugas di atas Gunung Kinabalu, mereka menganggap itu sebagai perkara biasa sahaja. Malahan kadang-kalau di atas puncak gunung suhu boleh turun melepasi di bawah 0 darjah Celsius,” jelas beliau. Walaubagaimanapun jelasnya lagi, kejadian takungan air membeku sememangnya suatu fenomena yang menarik, lebih-lebih lagi bila berlaku di kawasan Asia Tenggara yang cuma ada musim panas dan lembab sepanjang tahun. Apa yang penting, jelas Yassin, ialah pengalaman serta keselamatan para pendaki serta para petugas di atas gunung, sambil mengingatkan semua yang berkenaan agar membawa pakaian yang cukup tebal dan sesuai. Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jimmy Lagung memberitahu bahawa walau dengan keadaan sejuk luarbiasa di atas Gunung Kinabalu ketika ini, anggota MOSAR sentiasa siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. “Suhu sejuk ini boleh mengakibatkan pendaki terdedah kepada hypothermia (Kesejukan Melampau) sekiranya tidak memakai pakaian yang tebal..